Sunday, August 15, 2010

TAMADUN ISLAM 4

CONTOH SOALAN:

TEMA 5: Soalan: huraikan perkembangan pendidikan Islam pada zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin.

Pendidikan Islam berasaskan keseimbangan dan integrasi antara roh, akal, dan jasad. Ia melibatkan proses pendidikan sepanjang hayat sebagaimana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda,”tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Dalam tradisi Islam, perkataan-perkataan seperti tarbiyyah-ta’lim-ta’dib yang membawa pengertian pendidikan, pengajaran dan pembentukan budi pekerti, telah digunakan pakai semenjak zaman awal Islam lagi. Pendidikan selepas zaman Nabi Muhammad SAW telah mengalami beberapa perubahan dari segi kaedah atau cara pengajaran , tempat belajar, kurikulm yang diajar dan tenaga pengajar serta sumber. Menurut Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniyah, tugas khalifah adalah untuk menegakkan agama dan mentadbir dunia.

Perkembangan pendidikan Islam pada zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin bermula dengan zaman Abu Bakar As-Siddiq. Pada zaman ini, pembaharuan yang ditekankan ialah mengumpul ayat-ayat Al-Quran. Hal ini dilakukan kerana ramai tahfiz telah mati syahid semasa berperang. Ayat-ayat Al-Quran diajar dengan cara hafalan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Seterusnya, ia adalah bertujuan memerangi golongan nabi palsu (Ar-Riddah). Zaid bin Thabit telah diperintah untuk melaksanakan tugas ini kerana beliau pernah menjadi penulis wahyu pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Ayat-ayat Al-Quran ditulis semula diatas pelepah kurma, kepingan batu dan lain-lain bahan penulisan.

Selain itu, pada zaman Abu Bakar As-Siddiq, pembaharuan yang dilakukan ialah penyebaran hadis iaitu melalui ucapan Nabi Muhammad S.A.W. Tokoh-tokoh hadis adalah seperti Abu Hurairah, Aisyah dan Abdullah bin Umar. Hadis juga turut diriwayatkan oleh tokoh daripada golongan Tabi’in seperti Said bin Musayyab, Urwan bin Zubayr dan Salim bin Abdullah bin Umar. Penyebaran hadis ini dilakukan agar setiap perkara yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. kepada para pengikutnya dapat diperpanjangkan kepada umat manusia yang lain dengan tujuan agar merekan dapat mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.

Seterusnya, menjadikan masjid sebagai institusi penyebara ilmu pengetahuan. Ini adalah untuk menjadikan masjid bukan hanya tempat ibadat semata-mata. Ia juga boleh digunakan atas tujuan sebagai pusat penyebaran dakwah, pusat pentadbiran dan pendidikan. Abu Bakar As-Siddiq juga selalu mengunjungi dan melawat ke masjid untuk berdakwah. Baginda turut menghantar guru seperti Zaid bin Abdullah bin Saad untuk mengajar Al-Quran dan hadis di sekitar masjid Madinah. Pengajaran pendidikan yang digunakan adalah berdasarkan system halaqah dimana guru berada ditengah dan dikelilingi pelajar-pelajarnya.

Tambahan pula, pembaharuan yang giat dilakukan adalah mempergiatkan usaha dakwah. Usaha ini dilakukan apabila berlaku peperangan. Ia juga dijadikan antara syarat sebelum berperang seperti memeluk Islam, membayar jizyah dan berperang apabila dicabar. Satu utusan telah dihantar ke Damsyik (Syam) bersama 7500 orang tentera. Utusan-utusan lain dihantar ke Palestin, diketuai oleh Amr bin Al-As, dan Syurahbil bin Hasanah ke Jordan menerusi perang Tabuk.

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab pula, perkembangannya dapat dilihat menerusi pembinaan madrasah dan perpustakaan. Ia adalah menempatkan pusat pengumpulan dan penyebaran ilmu pengetahuan. Beliau juga menyusun semula kaedah pembelajaran dan pengajaran Islam mengiktu kesesuaian. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan salah faham mengenai ibadah dan iman.

Seterusnya, perubahan perkembangan yang dapat dilihat ialah pemerintah mewajibkan solat jumaat dan puasa di bulan ramadhan. Hal ini bertujuan untuk memantapkan akidah masing-masing. Beliau juga melantik guru untuk mengajar isi Al-Quran dan akidah. Bahasa arab juga dijadikan bahasa rasmi diseluruh Negara dan jajahan takluknya, disamping mengekalkan bahasa ibunda suku kaum masing-masing.

Selain itu, Khalifa Umar juga memerintahkan supaya ilmu nahu (tatabahasa) Arab disusun supaya mudah mempelajari bahasa arab. Menerusi pembelajaran bahasa arab, Ia dapat memantapkan akal dan mempertinggikan nilai akhlak seseorang penuntut. Pengenalan kepada kalendar Islam juga adalah perkembangan yang dilakukan oleh Khalifah Umar sempena mengambil tarikh hijrah pada 17 hijrah bersamaan 16 julai 622 masihi. Hal ini bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran.

Tambahan pula, terdapat kelas-kelas bacaan Al-Quran diseluruh wilayah Islam. Khalifah Umar mengirimkan guru-guru berpengalaman disetiap wilayah. Kota Basrah dijadikan sebagai pusat pengajian Islam begitu juga dengan di Kufah. Ilmu tauhid dan kebudayaan disebar dengan meluas dan dapat menambah ilmu pengetahuan rakyat.

Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, beliau menyambung pendidikan sedia ada dengan meriwayatkan hadis-hadis sebanyak 146 buah. Akibat terdapat percanggahan dalam tentera Islam mengenai pembacaan Al-Quran, beliau mengarahkan Zaid bin Thabit menyalin semula Al-Quran sebanyak enam kali. Al-Quran akhirnya dibukukan dan dipanggil Mashaf Uthmani dan digunapakai sehingga ke hari ini.

Seterusnya, pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib berlaku perkembangan pendidikan seperti usaha pendidikan agama. Khalifah Ali dianggap pengasas ilmu nahu dan beliau mewujudkan dasar-dasar pendidikan. Antaranya ialah melantik pemimpin melalui Bai’ah yang diberikan oleh orang ramai. Pemimpin juga harus bersikap tegas dan adil dan rakyat harus menurut perintah pemimpin. Pelantikan adalah mengikut majoriti dan sesiapa yang tidak bersetuju atau ingkar dianggap tidak mengikut hukum Islam. Secara tak langsung, ini menggambarkan kebijaksanaan Ali R.A. sebagai seorang Khalifah yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi, bersikap jujur dan berpandangan jauh.

Kesimpulannya, pendidikan zaman Khulafa Ar-Rasyidin merupakan kesinambungan perkembangan pendidikan zaman Rasulullah. Pendidikan pada zaman ini adalah berpandukan Al-Quran dan Hadis. Meskipun terdapat kekurangan peralatan, namun masing-masing telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam pendidikan Islam.