Thursday, July 8, 2010

TAMADUN ISLAM 3

CONTOH SOALAN:

TEMA 5: Bincangkan perkembangan pendidikan Islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W ketika di Makkah dan di Madinah.

Pendidikan meliputi hampir semua bidang seperti politik, ekonomi, falsafah, seni dan sebagainya. Ia bergerak secara dinamik dan terus berkembang tanpa henti mengikut perkembangan masyarakat. Pendidikan Islam berasaskan keseimbangan antar integrasi anatar roh, akal dan jasad. Ia melibatkan proses pendidikan sepanjang hayat sebagaimana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda: “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Dalam tradisi Islam, perkataan-perkataan seperti tarbiyyah-ta’lim-ta’dib yang membawa pengertian pendidikan, pengajaran dan pembentukan budi pekerti, telah diguna pakai semenjak zaman awal Islam lagi.

Perkembangan pendidikan Islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W bermula ketika baginda tinggal di Makkah. Bentuk pendidikan yang diterapkan oleh baginda lebih tertumpu kepada soal akidah dan akhlak. Pada peringkat awal, baginda menyampaikan ilmu dan dakwahnya secara sulit dan tertumpu kepada ahli keluarga terdekat seperti Khadijah, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah dan Abu Bakar. Cara penyampaian baginda secara lembut telah menarik lebih ramai penganut Islam. Antaranya Uthman bin Affan, al-Zubair bin al-Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Al-Arqam bin Abi al-Arqam dan beberapa sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang lain.

Penyampaian pendidikan Islam dalam bentuk akidah bermaksud proses pembinaan pendidikan dalam konteks mewujudkan kepercayaan yang menghubungkan seseorang dengan Tuhan yang juga dikenali sebagai rukun Iman. Rasulullah menekankan konsep akidah dalam beberapa aspek iaitu beriman kepada Allah S.W.T yang bererti menaruh kepercayaan penuh kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya. Selain itu, rasul menyampaikan segala perintah Allah, mengajar bagaimana mengabadikan diri kepada Allah dan mendidik manusia ke jalan yang benar.Tambahan pula, dalam konsep akidah ini Rasulullah juga menerapkan kewajiban mempercayai perihal hidup semula dan hari pembalasan dalam pendidikan Islam. Nabi Muhammad S.A.W juga mewajibkan akan percaya pada kewujudan malaikat dan mempercayai tentang untung nasi seseorang, sama ada baik atau buruk.

Seterusnya, bentuk pendidikan yang diterapkan oleh Nabi Muhammad S.A.W di Makkah ialah mengenai akhlak. Baginda menyarankan manusia berakhlak mulia kerana akhlak yang terpji membolehkan seseorang berdampingan dengan Allah. Selain daripada itu, Baginda juga mengajar manusia bersifat tolong-menolong dan selalu bersyukur di atas nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T. Sikap yang buruk seperti menyekutukan Allah S.W.T dan segala perbuatan sumbang adalah dilarang keras oleh Baginda. Ini bersesuaian dengan perutusan Baginda kepada umat manusia , iaitu untuk menyempurnakan akhlak yang mulia, disamping menghindari amal perbuatan buruk yang tidak menyenangkan.

Penggunaan rumah al-Arqam sebagai tempat pendidikan Islam yang pertama dalam sejarah pendidikan Islam. Di sini, Baginda dan sahabatnya bermusyawarah dan berbincang untuk mengatur segala strategi dakwah. Perkembangan strategi dakwah bermula apabila selepas tiga tahun Baginda berdakwah secara sulit, turunnya wahyu daripada Allah S.W.T yang meminta Baginda mula berdakwah secara terang-terangan. Baginda mula menyampaikan pendidikannya terang-terangan dengan cara berpidato, berceramah serta bertabligh di tempat orang ramai berkunjung seperti di pasar Ukaz dan berhampiran Kaabah pada musim haji.

Tambahan pula, dalam penyampaian dakwah oleh Baginda, juga turut disampaikan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca kepada orang ramai untuk memberi pengajaran dan petunjuk. Pengisian Al-Quran yang terang dan hebat menyebabkan ramai yang memeluk Islam. Semakin ramai yang memeluk Islam, semakin meningkat tekanan dan ancaman kaum Quraisy terhadap Nabi Muhammad S.A.W. Perkembangan pendidikan Islam di Makkah berhenti seketika kerana Baginda mengarahkan umat Islam berhijrah ke Habsyah degan harapan mereka tidak akan dizalimi di sana kerana Baginda melihat banyak berlaku penyeksaan terhadap umat Islam di Makkah.

Di Madinah pula, perkembangan pendidikan bermula dengan terbinanya masjid Quba dan masjid Nabawi. Struktur pengajian di masjid yang lebih berbentuk tidak formal dan menjadi sekolah pertama dalam sistem pendidikan Islam. Sistem pengajian menjadi lebih sistematik dan formal setelah Al-Suffah dibina. Pendidikan pertama dilakukan oleh Rasulullah adalah memperkuatkan penyatuan ummah dan mengikis sisa-sisa permusuhan. Konsep pengajian dan pendidikan di Madinah lebih tertumpu kepada ibadat dan syariah atau akidah serta membaca dan menulis dengan tidak melupakan soal-soal lain.

Di dalam konsep ibadat, Rasulullah mewajibkan umat Islam menunaikan solat jumaat, disunatkan solat aidilfitri dan aidiladha. Selepas itu, pada tahun 2 hijrah, ibadat puasa pula diwajibkan diikuti ibadat haji pada tahun 6 hijrah. Selain itu, terdapat zakat , hukum perkahwinan, kegiatan ekonomi dan pemerintahan yang juga dimulakan pada 6 hijrah. Dalam pendidikan akhlak pula, ia adalah lebih terperinci daripada zaman di Makkah. Ia meliputi adab masuk ke rumah jiran, adab berjiran dan adab bergaul dengan masyarakat. Cara yang dilakukan oleh Rasulullah adalah dengan menunjukkan perbuatan dan perkataan yang boleh dijadikan teladan yang baik serta menceritakan kisah-kisah yang terkandung dalam Al-Quran dan kisah-kisah umat zaman dahulu.

Tambahan pula, Rasulullah meminta mereka yang boleh membca dan menulis supaya menulis ayat-ayat Al-Quran yang diwahyukan. Selain itu, mereka disuruh mengajar orang lain. Dibuktikan dengan tawaran perang Badar , bagi yang tidak mampu menebus diri snediri dengan kewangan disuruh mengajar kanak-kanak umat Islam Madinah sehingga tahu membaca dan menulis. Untuk menggalakkan kaum wanita menuntut ilmu, sahabat Baginda memperuntukkan sehari dalam seminggu untuk menyampaikan ilmu kepada kaum wanita. Pendidikan diajar bukan sahaja berkaitan soal agama tetapi juga menyentuh keduniaan.

Kesimpulannya, pendidikan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W adalah bersumberkan wahyu yang menjadi tunggak kepada perkembangan pendidikan Islam. Pendidikan Islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W juga bersumberkan daripada Al-Quran dan hadis yang mampu melahirkan insan yang seimbang dalam menjalani kehidupan di dunia dan akhirat.