Wednesday, May 19, 2010

TAMADUN ISLAM 2

CONTOH SOALAN:

TEMA 3: Jelaskan isi perjanjian hudaibiyah dan kesannya terhadap perkembangan politik di madinah.

Perjanjian Hudaibiyah berlaku pada bulan Zulkaedah tahun keenam hijrah (Mac 628 M) dan ditandatangani antara pihak Musyrikin Mekah dengan Rasulullah. Dinamakan perjanjian Hudaibiyah sempena nama tempat perjanjian ini ditandatangani. Rasulullah bersama-sama 1400 orang Islam Madinah menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Apabila pihak Musyrikin mendapat tahu hal ini, wakil mereka datang menemui Rasulullah untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Mekah. Maka, Rasulullah menghantar Uthman bin Affan ke Mekah untuk menjelaskan tujuan tersebut kepada wakil pihak Musyrikin itu.

Uthman bin Affan ditahan dan tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh. Orang Islam pun berikrar untuk menuntut atas kematian itu. Ikrar ini dikenali sebagai 'Baiátin ridhuan'. Apabila mendengar berita ini, pihak Musyrikin pun membebaskan Uthman bin Affan dan menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan orang Islam. Perundingan ini membawa kepada berlakunya "Perjanjian Hudaibiyah".

Diantara isi kandungan yang tercatat didalam perjanjian hudaibiyah ini adalah gencatan senjata selama sepuluh tahun. Ini bermaksud kedua-dua pihak tidak boleh membuat serangan bersenjata kepada satu pihak yang lain.

Selain itu, orang Islam hanya dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya, tinggal di Makkah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung. Ini memebolehkan umat islam mengerjakan ibadat umrah di Makkah dengan selamat dengan membawa senjata bersarung iaitu pedang yang panjang yang diletakkan dibelakang badan si pemakai.

Tambahan pula, isi lain yang terkandung ialah bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan. Seperti contoh perkara yang membawa kebaikan ialah dengan melakukan urus niaga dengan adil dan tidak membuat sebarang serangan ke atas umat Islam.

Seterusnya, Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula manakala orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan. Ini membolehkan pihak Islam menerima pertambahan bilangan saudara baru kerana berlakunya penyebaran Islam didalam kaum musyrikin Makkah yang tidak dapat dilihat oleh kaum musyrikin Makkah itu sendiri.

Selain itu, isi perjanjian hudaibiyah yang lain ialah kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan. Seperti contoh, kaum musyrikin Makkah boleh membuat perjanjian yang lain seperti hal-hal perdagangan dan perniagaan tetapi tidak boleh membuat urusan perjanjian untuk memberi bantuan dalam peperangan.

Terdapat beberapa hikmah dalam perlaksanaan perjanjian Hudaibiyah ini. Antaranya ialah, berkembangnya syiar Islam. Kehidupan masyarakat aman dan damai. Pengiktirafan Rasulullah dan negara Islam di Madinah. Rasulullah diiktiraf sebagai ketua negara madinah dan baginda disanjungi dan dihormati oleh masyarakat dalam pelbagai kabilah. Membuka jalan kepada pembebasan Mekah daripada Musyrikin Quraisy. Orang Islam dapat membuat perhubungan dengan kabilah Arab yang lain.

Diantara kesan yang boleh dilihat selepas perjanjian Hudaibiyah ialah kaum musyrikin Quraisy semakin lemah dan Islam semakin kuat dan semakin berkembang luas serta semakin maju dalam pelbagai sektor. Selain itu, Orang Yahudi yang khianat diusir dari Madinah dan tidak dibenarkan berpijak lagi ke bumi Madinah. Kemudian, Rasulullah mengajar ummatnya bagaimana untuk membuat perjanjian dengan kaum kafir supaya ummatnya tidak mudah tertipu oleh kaum kafir. Seterusnya, corak politik Rasulullah yang lebih menjurus kepada pemerhatian dan pemikiran dapat menarik perhatian masyarakat di setiap pelusuk negeri sekitar Madinah dan Makkah.

TAMADUN ISLAM

CONTOH SOALAN:

TEMA 1: huraikan langkah-langkah yang diambil oleh nabi Muhammad s.a.w dalam menyatukan masyarakat di madinah.

Nabi Muhammad s.a.w berasal daripada keturunan bani hasyim yang memainkan peranan penting dalam sosiopolitik dalam masyarakat arab ketika itu. Sebelum dilantik menjadi rasul, baginda terkenal sebagai seorang pedagang dan sangat dihormati pada ketika itu kerana telah menyelesaikan masalah pertelagahan tentang hajarulaswad.Setelah dilantik menjadi rasul-NYA, nabi Muhammad s.a.w menyampaikan dakwah secara sulit atau terang-terangan. Sebelum dakwah dilakuakn secara terang-terangan, orang islam melakukan ibadat solat secara tersembunyi.Dalam meneruskan usaha dakwahnya, nabi muhamad s.a.w telah menerima tentangan hebat daripada orang quraisy makkah sehingga baginda mengambil keputusan untuk berhijrah ke madinah.

Langkah-langkah yang diambil oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk menyatukan masyarakat islam di madinah ialah melalui pembinaan masjid. Ini adalah usaha pertama Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah. Fungsi masjid ialah tempat perhimpunan umat Islam untuk mengadakan perbincangan, pusat pengajian, tempat beribadat, pusat pentadbiran dan berurusniaga. Masjid terawal yang dibina ialah masjid Nabawi. Pembinaan masjid telah melipat gandakan usaha-usaha dakwah nabi Muhammad s.a.w di Madinah.

Seterusnya ialah piagam madinah ataupun perjanjian politik. Piagam madinah ataupun perjanjian politik ini diperkenalkan untuk tujuan menyatupadukan masyarakat Madinah yang majmuk iaitu berbilang bangsa. Kandungan Piagam ini mencatatkan hak dan tanggunjawab pemerintah dengan golongan yang diperintah, tanggungjawab orang Islam sesama Islam, Orang Islam dengan orang bukan Islam, tanggungjawab terhadap terhadap negara Madinah, dan juga hak orang-orang bukan Islam.

Selain itu, langkah yang diambil ialah menyatupadukan suku kaum Aus dan Khazraj. Langkah ini bertujuan menamatkan permusuhan tradisi. Golongan ini sudah lama bermusuhan di Madinah kerana kegiatan orang Yahudi yang sering melaga-lagakan golongan ini untuk kepentingan mereka.

Tambahan pula, nabi Muhammad s.a.w. mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Ia dilakukan atas tujuan untuk saling bantu-membantu sesame mereka. Contohnya Nabi mempersaudara Hamzah dengan Zaid bin Harithah, dan Abu Bakar dengan Kharijah. Konsep persaudaraan ini tidak melewati batas persaudaraan yang mempunyai darah keturunan dan mereka dilarang mewarisi harta. Sebaliknya lebih kepada ikatan kepaercayaan dan akidah. Persaudaraan yang ditanam oleh Nabi Muhammad s.a.w telah berjaya membentuk satu ikatan yang kukuh di kalangan umat Islam.

Langkah yang lain diambil oleh baginda ialah mengambil tindakan memerangi serta menghalau dan menghukum golongan Yahudi yang melanggar piagam Madinah. Kaum Bani Qainuqa’ diusir kerana mempersenda-senda kemenangan umat Islam dalam perang dan perkampungan kaum Badar dikepung seterusnya mereka diusir keluar dari Madinah. Kaum Bani Nadhir dihalau kerana menyokong kaum Quraisy dalam perang Uhud dan membuat pakatan untuk membunuh Nabi. Kaum Bani Quraizah dikenakan hukuman yang lebih keras, iaitu semua lelaki dewasa dibunuh, harta dirampas, manakala golongan wanita dan kanak-kanak diusir dari Madinah. Implikasi pengusiran golongan Yahudi ini, maka konsep ummah kini hanyalah umat Islam sahaja, dan secara tidak langsung negara menjadi aman dan stabil.

Seterusnya, Memperkenalkan sistem ekonomi yang adil serta menghapuskan sebarang bentuk penindasan khususnya amalan riba. Nabi menggalakkan kegiatan pertanian dan perdagangan.

Sesungguhnya Islam dibangun atas landasan persaudaraan sejati yang merupakan buah dari keimanan yang tinggi. Jika kita mengambil contoh dari Rasulullah saw. dan para sahabat, maka persaudaraan sejati semacam itu hanya terdapat pada manusia-manusia yang berjiwa bersih dan berakhlak mulia. Persaudaraan ini melahirkan cinta kasih, ibarat mata air yang memancar keluar dan mengalir dengan sendirinya. Hal ini tidak bisa dipaksakan dengan peraturan atau undang-undang apapun juga. Persaudaraan ini akan berkembang di dalam hati dan membebaskan fikiran manusia dari cengkeraman egoisme, kekikiran, serta akhlak dan budi pekerti yang rendah.